Monday 23 May 2011

Lapuran Pakar berkecuali akan tentukan nasib Lynas!

KUALA LUMPUR: Masa depan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang bergantung pada hasil kajian pakar yang dilantik kerajaan untuk menilai semula aspek keselamatan projek itu. 

Pada mulanya, Lynas Corporation Ltd of Australia, pemilik kilang itu, merancang untuk menyiapkan pembinaan loji utamanya menjelang September ini.
Bagaimanapun, tarikh yang disasarkan itu kini menjadi persoalan kerana kerajaan akan membuat keputusan mengenai masa depan Lynas hanya selepas menerima hasil kajian dan syor panel pakar yang dijangka diserahkan kepadanya pada bulan depan.
Syarikat itu bercadang memproses bahan mentah (bijih lanthanide) dari Australia Barat untuk dijadikan lanthanides tulen, yang tergolong dalam kumpulan nadir bumi. 

Penggunaan nadir bumi amat penting dalam penghasilan barangan berteknologi tinggi, daripada kabel serat optik hinggalah kepada telefon pintar dan kereta elektrik. 

Mereka yang mengkritik pembinaan loji itu kini mengalihkan fokus kepada panel penilai berkenaan. Sesetengah pengkritik menyalahkan kerajaan kerana meminta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melantik satu panel pakar untuk membuat penilaian terhadap isu kesihatan dan keselamatan yang menyelubungi pembinaan kilang Lynas itu. 

Mereka mendakwa IAEA bersikap ‘pro-nuklear’ dan oleh itu anggota panelnya mungkin mengambil pendirian yang menyebelahi Lynas. 
Pandangan itu seolah-olah mempertikaikan integriti dan kebebasan IAEA serta anggota panelnya dan pandangan ini mungkin tidak adil memandangkan panel berkenaan belum lagi menyelesaikan tugas atau mengemukakan penemuannya. 

Kritikan itu juga mendedahkan kejahilan mereka mengenai peranan dan tugas IAEA. 

IAEA adalah sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia bekerjasama dengan 151 negara anggota pertubuhan dunia itu dan 71 pertubuhan antara kerajaan dan badan bukan kerajaan dari seluruh dunia untuk memupuk penggunaan teknologi nuklear secara aman dan selamat. 

Badan itu juga adalah pihak berkuasa antarabangsa yang diterima baik oleh masyarakat antarabangsa mengenai amalan baik berhubung isu keselamatan nuklear, perlindungan daripada radiasi, pengurusan sisa buangan bahan radioaktif, pengangkutan bahan buangan radioaktif dan keselamatan loji bahan api nuklear. 
Di Gebeng, panel pakar itu akan menentukan sama ada Lynas mematuhi standard dan amalan baik antarabangsa berkaitan nuklear dan radiasi. – BERNAMA